ANTARA WIBAWA SUAMI DAN KETAATAN ISTERI

Kewibawaan Suami"Suami yang berwibawa itu dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan"

Suami idaman! Para wanita Tuhan jadikan bersamanya sifat pemalu. Sifat pemalu semulajadi itu serba sedikit dapat menyelamatkan maruah para wanita. Apabila hilang sifat malu maka runtuhlah benteng maruah yang utama dari wanita. Di akhir zaman ini memang sifat malu semulajadi itu sudah hampir lenyap. Maka lahirlah wanita yang kurang malu atau tak malu.

Salah satu kesan ketara kekurangan sifat malu itu apabila para wanita sanggup berterus-terang mengenai ciri-ciri suami idaman. Tanpa berselindung mereka rata-rata idamkan suami macho, tampan, segak, bertubuh sasa, kaya, popular, berpangkat, berkelulusan dan sebagainya.

Ramaikah lelaki seumpama itu? Tentulah sedikit saja. Memang Tuhan jadikan jumlahnya sedikit. Bahagiakah wanita yang berjaya mendapat suami idaman tersebut? Mudah saja jawapan kepada persoalan ini, iaitu kebahagiaan terletak di hati, bukan di mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan lain-lain anggota lahir.

Sepatutnya wanita merasa malu untuk berterus-terang tentang ciri-ciri suami yang diidamkan. Tetapi tidak pula salah andainya sekadar mengharap, malah dibolehkan harapan itu dirintihkan kepada Tuhan, tanpa dilafazkan. Dan elok disertakan pula dengan sangka baik kepada Tuhan bahawa siapa saja yang datang ke dalam hidupnya seorang lelaki bergelar suami maka itulah yang terbaik untuk dirinya. Kerana Tuhan Maha Mengetahui, Maha Adil dan sangat luas rahmat-Nya. Setiap anugerah Tuhan itu tetap ada kebaikan atau hikmah di sebaliknya. Oleh itu, lebih baik mengekalkan sifat malu melalui tanpa mendedahkan apa yang tersirat di hati mengenai bakal suami dan mengharap serta berserah kepada Tuhan.

Sebuah perkahwinan atau rumahtangga tidak lebih dari salah satu alat untuk mendapatkan Tuhan. Melalui suami dan melalui isteri, tidak lebih dari alat untuk sama membesarkan Tuhan. Apabila mendapat Tuhan ertinya memperolehi segala-galanya, memperolehi sumber iman dan taqwa, kekuatan, kekayaan, ketenangan, keselamatan dan kebahagiaan. Kehilangan Tuhan, apa saja yang dimiliki dalam hidup tidak mempunyai apa-apa erti kerana semuanya hancur musnah. Kalau begitu kedudukannya, alangkah elok andainya setiap wanita mengharapkan kehadiran seorang suami yang berwibawa kerana dengannya ada sedikit jaminan mendapat Tuhan dan sekaligus mendapat segala-galanya. Suami berwibawa adalah suami yang berupaya membawa hati kepada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Kedua-dua rasa ini bakal menjamin kesejahteraan dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.

Wibawa ada dua jenis.

Pertama, yang bersifat semulajadi yang dicipta oleh Tuhan.

Ada manusia yang Tuhan anugerahkan pada dirinya mempunyai tarikan semula jadi seperti cantik, handsome, tampan, petah bercakap. Atau secara semulajadi Tuhan jadikan orang lain mudah jatuh hati, atau memandang hebat kepada seseorang. Atau boleh juga disebut sebagai peribadi yang menarik perhatian. Kurnia Tuhan ini tidak boleh diusahakan.

Kedua, ialah wibawa aradhi atau mendatang.

Wibawa jenis yang kedua ini boleh diusahakan. Ertinya boleh dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh. Apabila berjaya memilikinya maka peribadinya akan dilihat menarik, disegani, dihormati, disayangi. Malah sangat mendatangkan manfaat kepada dirinya dan orang lain. Bertuah dan beruntung seorang isteri apabila Tuhan kurniakan suami yang berwibawa, iaitu apabila seorang suami memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan. Lebih-lebih lagi bertuah sekiranya seseorang itu ada kedua-duanya iaitu wibawa semulajadi dan aradhi, tetapi ini amat jarang berlaku kepada orang awam kecuali para rasul.Di dalam sebuah keluarga, andainya suami belum memiliki wibawa mendatang ini, sentiasa belum terlewat untuk diusahakan. Contohnya, ilmu dan pengetahuan, amat berguna yang akan memberi kesejahteraan di dunia dan merupakan panduan untuk keselamatan Akhirat. Menguasai ilmu semata-mata tidak memadai dalam erti kata kalau sekadar terhenti kepada menjadi cerdik dan pandai. Kerana kerosakan yang amat besar berlaku di muka bumi ini adalah angkara orang cerdik dan berilmu pengetahuan. Ramai para ulama turut melanggar perintah Tuhan. Bukan mereka tidak tahu hukum-hakam, tetapi kerana tidak boleh melawan nafsu. Di sinilah letaknya betapa penting mempunyai iman dan taqwa. 

Komentar

Postingan populer dari blog ini

BENTUK-BENTUK PERUSAHAAN DI INDONESIA

POTENSI DAN ANCAMAN PULAU TERLUAR INDONESIA

FILSAFAT BARAT DAN PERANANNYA DALAM PERKEMBANGAN ILMU PENGETAHUAN